Friday, February 5, 2010

Guan Eng 'sembunyi' di pejabat


IBRAHIM Ali turut memberi ucapan membantah kerajaan pimpinan Lim Guan Eng yang sering menindas kaum Melayu Pulau Pinang semasa mengadakan perhimpunan aman di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 5 Feb. - Hasrat ribuan peserta Perhimpunan Sedaq untuk bertemu Lim Guan Eng bagi menyerahkan memorandum tidak kesampaian apabila Ketua Menteri itu terus 'bersembunyi' di dalam pejabatnya dan enggan melayan permintaan mereka.

Guan Eng sebaliknya hanya menghantar pembantu khas beliau, Ong Beng Guat untuk bertemu serta menerima memorandum berkenaan.

Disebabkan kecewa dengan sikap Guan Eng, para peserta perhimpunan membakar memorandum tersebut dan patung Guan Eng di luar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), iaitu bangunan yang menempatkan pejabat Ketua Menteri.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang turut serta dalam perhimpunan itu berkata, beliau kecewa dengan tindakan Guan Eng tersebut.

"Kami amat dukacita kerana Guan Eng enggan dan tidak berani untuk bertemu kami.

"Kami mahu menyampaikan memorandum yang menyatakan suara orang Melayu yang sering ditindas dan dizalimi oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP," katanya kepada pemberita di lobi Komtar di sini hari ini.

Sebelum itu, lebih 3,000 peserta Perhimpunan Sedaq anjuran 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam berkumpul berdekatan Masjid Simpang Enam, tidak jauh dari Komtar bermula 12 tengah hari.

Beberapa pemimpin NGO antaranya Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Jais Abd. Karim dan pemilik-pemilik gerai yang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan menyampaikan ucapan yang rata-rata melahirkan kemarahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Mereka kemudiannya menunaikan solat Jumaat dan solat hajat di masjid berkenaan sebelum berarak ke Komtar bagi menyampaikan memorandum kepada Guan Eng.

Selain memakai lilit kepala serta baju merah, mereka turut membawa sepanduk yang antaranya tertera 'Hancur Guan Eng', 'Hidup Islam', 'Hidup Melayu', 'Lim Guan Eng Diktator' dan 'Lim Guan Eng Rasis'.
 

0 comments:

Sila ambil perhatian bahawa penulisan-penulisan yang disumbangkan ke laman web ini bukanlah pandangan rasmi Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia kecuali yang dikeluarkan secara rasmi dari masa ke semasa oleh pihak Pertubuhan.

GEOCOMPUTER

Neo Counter

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP