Sunday, September 27, 2009

Perkasa minta Dr M dilantik penasihat kerajaan, Umno

KOTA BHARU: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno mempertimbangkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kerajaan dan parti terbesar mewakili orang Melayu itu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata ia bagi membolehkan Dr Mahathir menyampaikan terus pandangannya secara formal kepada kepemimpinan Umno dan kerajaan, sekali gus mengelakkan bekas Perdana Menteri itu daripada membuat kritikan terbuka yang dibimbangi akan dieksploitasi pihak tertentu.

Katanya, sebagai negarawan yang banyak berjasa sepanjang 22 tahun mengetuai kerajaan, sudah tentu Dr Mahathir mempunyai pandangan serta visi yang boleh dikongsi bersama kepemimpinan Umno dan kerajaan ketika ini. "Saya bercadang membawa perkara ini ke sidang Parlimen pada Oktober ini bagi meminta Najib memberi pertimbangan supaya Tun dilantik penasihat kerajaan dan Umno.

“Dengan itu, saya yakin banyak perkara sensitif berhubung kenyataan dan kritikan terbuka Tun tidak lagi dijadikan bahan

oleh sesetengah pihak untuk meraih kepentingan politik kerana Dr Mahathir boleh menyatakan pandangannya secara formal dan tertutup kepada kerajaan. "Malah, dengan Tun sebagai penasihat, kita akan menyaksikan negarawan bertukar pandangan dengan kepemimpinan sekarang supaya dasar diumumkan dapat difahami semua pihak serta tidak menimbulkan polemik," katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Berita Harian 27 Sept, 2009.

Read more...

Tuesday, September 15, 2009

Cadangan orang lupa diri - Perkasa

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan perwakilan MIC yang mencadangkan supaya gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad diletakkan kalungan selipar sebagai orang yang lupa diri.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang berang dengan cadangan itu berkata, individu berkenaan juga layak dikategorikan sebagai 'sampah masyarakat' kerana tidak boleh menerima kritikan orang lain. Sikap biadab dan angkuh perwakilan itu, katanya, adalah salah satu bukti bahawa golongan minoriti semakin berani bersuara sehingga sanggup menghina seorang negarawan yang amat berjasa kepada negara.

"Apa salahnya Dr. Mahathir menegur? Beliau sendiri satu ketika dahulu dikecam hebat, dilabelkan sebagai 'Mahafiraun' tapi tiada siapapun yang memberikan tindak balas dengan kurang ajar. "Sepatutnya orang yang buat cadangan itu yang disangkutkan kalungan selipar pada tengkoknya," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Beliau mengulas cadangan seorang perwakilan MIC yang mahu meletakkan kalungan selipar pada gambar Dr. Mahathir berikutan rasa tidak puas hati mereka dengan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa telah mencampuri urusan MIC. Cadangan itu dilontarkan sewaktu sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam. Pengerusi Majlis Tertinggi Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju pula mempertikaikan sikap Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang hanya mendiamkan diri apabila perwakilan berkenaan membuat cadangan biadab itu.

Katanya, semua pihak termasuk ahli MIC perlu sedar bahawa Dr. Mahathir disanjungi segenap lapisan masyarakat manakala Samy pula semakin dijauhi kaum sendiri. "Tahukah mereka apa yang dicakapkan kepada seorang negarawan yang banyak jasa kepada negara ini dan juga MIC. "Samy Vellu boleh mengarahkan orang-orangnya agar tidak berbuat demikian, tapi dia mendiamkan diri. Saya bukan orang politik tapi hendak sedarkan mereka supaya tidak menguji kesabaran orang Melayu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Rais Zainuddin berkata, cadangan itu bukannya satu kritikan sebaliknya satu penghinaan yang amat dahsyat. Sehubungan itu katanya, perwakilan tersebut wajar, memohon maaf kepada Dr. Mahathir dan keengganan berbuat demikian akan menjadi satu liabiliti kepada MIC. "Kalau mahu mengkritik Dr. Mahathir kerana tidak bersetuju dengannya, saya rasa itu tidak mengapa malah ia alu-alukan kerana dengan cara itu pendirian mereka dapat difahami. "Tapi kalau nak memberi kalungan selipar, itu sudah menghina, melampau dan kurang ajar," katanya.


Read more...

Monday, September 14, 2009

NGO landasan terbaik cipta kedamaian


RAJA Dr. Nazrin Shah menyampaikan kurniaan kepada Francis Yap dari Persatuan Kebajikan Orang-orang Kurang Upaya (OKU) Ipoh di Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, semalam.

IPOH 13 Sept. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang baik untuk menyatukan hasrat dan usaha membina negara Malaysia yang aman damai.

Titah baginda, ini kerana badan itu dapat mempertemukan hati warga Malaysia yang ingin mencari kebaikan dan melaksanakan kebajikan. "Pelbagai agama dan kumpulan etnik, dari pelbagai strata sosial dan status ekonomi dapat menggabungkan sumber, tenaga, fikiran dan usaha secara produktif lagi konstruktif melakukan kerja-kerja murni," titah baginda di sini hari ini. Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Sebanyak 71 pertubuhan sukarela, badan amal dan kebajikan dari pelbagai agama dan kumpulan etnik di negeri ini menerima bantuan berjumlah RM1.42 juta. Tahun lalu, yayasan itu menyampaikan bantuan berjumlah RM1.18 juta kepada 59 organisasi. Raja Nazrin bertitah, organisasi tersebut dapat memperlihatkan semangat pengorbanan tinggi di samping menyemai semangat ingin memberi daripada menerima di kalangan warga Malaysia.

"Adalah menjadi harapan agar kurniaan ini dapat terus memberikan inspirasi, semangat dan tenaga kepada pelbagai badan amal untuk terus melaksanakan usaha-usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata," titah baginda. Baginda bertitah, setiap organisasi yang menerima bantuan perlu mengemukakan akaun tentang kaedah wang tersebut dibelanjakan.

"Laporan kewangan yang dikemukakan itu akan dapat membantu urus setia yayasan membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa depan," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, al-Quran menyeru manusia mengerjakan ibadah dan melakukan amal jariah. Baginda bertitah, segala peristiwa dan setiap kejadian merupakan ujian terhadap tahap keimanan dan ketakwaan, serta sifat sabar, tabah, yakin dan bersyukur.

Titah baginda, kejayaan adalah anugerah Ilahi dan ia wajib diurus dengan baik kerana kejayaan tidak kekal selamanya jika disalah urus. "Kejayaan yang berjaya diuruskan secara amanah dan cekap akan membina kejayaan yang lebih gemilang. "Manusia tidak harus alpa malah wajib mencerminkan sifat kesyukuran dan mengamalkan budaya berterima kasih setelah mencapai atau dikurniakan kejayaan," titah Raja Nazrin. - UTUSAN MALAYSIA 14 SEPT, 09



Read more...

Friday, September 11, 2009

NGO Melayu bimbang

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bimbang dengan tindakan Peguam Negara yang terlalu cepat membuat pendakwaan dalam isu kepala lembu.


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Tan Sri Abdul Gani Patail itu akan menimbulkan rasa gelisah di kalangan orang Melayu. ''Saya hairan mengapa banyak kes yang dilaporkan sebelum ini kepada pihak polis seperti isu penghinaan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak terbabit. ''Namun dalam kes isu kepala lembu, ia berbeza sama sekali yang mana Peguam Negara begitu cepat membuat pendakwaan kepada penunjuk perasaan,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas ruangan pembaca Utusan Malaysia hari ini yang merasa pelik dengan pendakwaan segera Peguam Negara dan polis ke atas pihak yang kononnya telah menghina agama Hindu dengan mengusung kepala lembu ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor. Malah, pembaca yang menamakan dirinya sebagai Mohd. Sharial Omar itu mempersoalkan mengapa pendakwaan tidak dilakukan kepada pihak-pihak tertentu dalam isu seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu. Ibrahim menegaskan, tindakan sebegitu boleh menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan orang Melayu jika gagal bertindak adil dalam isu-isu yang melibatkan sensitiviti orang Melayu.

''Saya tidak mahu nanti orang Melayu fikirkan yang kerajaan sekarang sedang cuba mengambil hati orang bukan Melayu melalui cara ini dengan membelakangi mereka,'' tambahnya. Beliau berkata, Peguam Negara sepatutnya bertindak tegas dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya terus tunduk kepada helah psikologi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sementara itu Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, Peguam Negara perlu bertindak adil dalam membuat pertimbangan sebelum membuat pendakwaan. ''Apakah rasionalnya beliau mengambil tindakan segera kepada penunjuk perasaan itu, mengapa kes-kes sebelum ini masih belum dikenakan pendakwaan,'' soalnya. Katanya, beliau mengakui apa yang dibuat oleh Peguam Negara itu adalah satu tindakan yang betul daripada segi undang-undang namun tekniknya salah. ''Abdul Gani perlu menyelesaikan kes terdahulu yang mana masih ramai orang Melayu berasa terkilan dengan tindak tanduk sesetengah ahli politik bukan Melayu yang mempersoalkan hak serta kedudukan Raja-Raja Melayu,'' jelasnya.-UTUSAN MALAYSIA 11 NOV, 09

Read more...

Thursday, September 3, 2009

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menyampaikan replika cek kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Ama

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menyampaikan replika cek kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada majlis perasmian buku bertajuk Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali, The Architect of Felda anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut kelihatan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Nor (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan (tengah.Foto THE STAR Oleh: AZHAR MAHFO

Read more...

Kementerian Perumahan sedia kaji kadar bantuan bagi program PKB-Datuk Lajim Ukin

3rd September, 2009


KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedia mengkaji kadar bantuan bagi Program Pembasmian Kemiskinan Dalam Bandar (PKB) agar ianya lebih sesuai dengan keperluan kos sara hidup di kawasan bandar yang semakin meningkat.

Timbalan menterinya, Datuk Lajim Ukin, berkata PKB yang mula diperkenalkan oleh kerajaan pusat sejak tahun 2006 bertujuan untuk membantu rakyat miskin di kawasan bandar.

Bagaimanapun katanya, kadar bantuan yang diberikan tidak setimpal dengan keperluan semasa terutamanya dalam peningkatan kos sara hidup yang agak tinggi di kawasan bandar.

“Ketetapan kadar bantuan ini telah ditentukan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan,” katanya. Ssemasa diwawancara secara langsung dalam Program Helo Malaysia Bernama TV malam Rabu. Lajim berkata, kementeriannya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya bertanggungjawab untuk mengagih-agihkan bantuan ini kepada mereka yang layak di kawasan PBT masing-masing.

Menurutnya, kadar yang telah ditetapkan sekarang bagi rakyat di kawasan bandar di Semananjung Malaysia mereka yang berpendapatan RM740 sebulan, di Sarawak RM 860 sebulan sementara di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM970 sebulan adalah layak menerima program berkenaan.

Beliau berkata, jika mengambi kira dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini sudah tentu kadar bantuan ini agak rendah.

Justeru itu, katanya, kementerian berkenaan sedia mengkaji dengan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menentukan kadar bantuan PKB yang lebih sesuai mengikut keperluan semasa.

Katanya, bagi program bantuan PKB itu, mereka yang layak akan menerima bantuan dari segi pembayaran sewa rumah, keperluan pendidikan anak-anak termasuk bantuan perubatan bagi mereka yang menghidap penyakit buah pinggang.

Dalam perkembangan yang sama Lajim berkata, untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) kementerian beliau telah diperuntukkan sejumlah RM130 juta untuk melaksankan program itu.

“Setakat 31 Julai tahun ini lebih dari RM 70 juta telah pun diagih-agihkan kepada keseluruhan PBT di negera ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kementeriannya, juga turut memberikan perhatian terhadap perlaksanaan projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan harapan ianya dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah untuk menduduki rumah yang lebih selesa.

“Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membasmi kemiskinan dalam bandar,” tambahnya.

Sabah Times
03 Sept 09

Read more...
Sila ambil perhatian bahawa penulisan-penulisan yang disumbangkan ke laman web ini bukanlah pandangan rasmi Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia kecuali yang dikeluarkan secara rasmi dari masa ke semasa oleh pihak Pertubuhan.

GEOCOMPUTER

Neo Counter

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP