Tuesday, September 15, 2009

Cadangan orang lupa diri - Perkasa

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan perwakilan MIC yang mencadangkan supaya gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad diletakkan kalungan selipar sebagai orang yang lupa diri.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang berang dengan cadangan itu berkata, individu berkenaan juga layak dikategorikan sebagai 'sampah masyarakat' kerana tidak boleh menerima kritikan orang lain. Sikap biadab dan angkuh perwakilan itu, katanya, adalah salah satu bukti bahawa golongan minoriti semakin berani bersuara sehingga sanggup menghina seorang negarawan yang amat berjasa kepada negara.

"Apa salahnya Dr. Mahathir menegur? Beliau sendiri satu ketika dahulu dikecam hebat, dilabelkan sebagai 'Mahafiraun' tapi tiada siapapun yang memberikan tindak balas dengan kurang ajar. "Sepatutnya orang yang buat cadangan itu yang disangkutkan kalungan selipar pada tengkoknya," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Beliau mengulas cadangan seorang perwakilan MIC yang mahu meletakkan kalungan selipar pada gambar Dr. Mahathir berikutan rasa tidak puas hati mereka dengan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa telah mencampuri urusan MIC. Cadangan itu dilontarkan sewaktu sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam. Pengerusi Majlis Tertinggi Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju pula mempertikaikan sikap Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang hanya mendiamkan diri apabila perwakilan berkenaan membuat cadangan biadab itu.

Katanya, semua pihak termasuk ahli MIC perlu sedar bahawa Dr. Mahathir disanjungi segenap lapisan masyarakat manakala Samy pula semakin dijauhi kaum sendiri. "Tahukah mereka apa yang dicakapkan kepada seorang negarawan yang banyak jasa kepada negara ini dan juga MIC. "Samy Vellu boleh mengarahkan orang-orangnya agar tidak berbuat demikian, tapi dia mendiamkan diri. Saya bukan orang politik tapi hendak sedarkan mereka supaya tidak menguji kesabaran orang Melayu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Rais Zainuddin berkata, cadangan itu bukannya satu kritikan sebaliknya satu penghinaan yang amat dahsyat. Sehubungan itu katanya, perwakilan tersebut wajar, memohon maaf kepada Dr. Mahathir dan keengganan berbuat demikian akan menjadi satu liabiliti kepada MIC. "Kalau mahu mengkritik Dr. Mahathir kerana tidak bersetuju dengannya, saya rasa itu tidak mengapa malah ia alu-alukan kerana dengan cara itu pendirian mereka dapat difahami. "Tapi kalau nak memberi kalungan selipar, itu sudah menghina, melampau dan kurang ajar," katanya.


0 comments:

Sila ambil perhatian bahawa penulisan-penulisan yang disumbangkan ke laman web ini bukanlah pandangan rasmi Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia kecuali yang dikeluarkan secara rasmi dari masa ke semasa oleh pihak Pertubuhan.

GEOCOMPUTER

Neo Counter

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP