Friday, September 11, 2009

NGO Melayu bimbang

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bimbang dengan tindakan Peguam Negara yang terlalu cepat membuat pendakwaan dalam isu kepala lembu.


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Tan Sri Abdul Gani Patail itu akan menimbulkan rasa gelisah di kalangan orang Melayu. ''Saya hairan mengapa banyak kes yang dilaporkan sebelum ini kepada pihak polis seperti isu penghinaan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak terbabit. ''Namun dalam kes isu kepala lembu, ia berbeza sama sekali yang mana Peguam Negara begitu cepat membuat pendakwaan kepada penunjuk perasaan,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas ruangan pembaca Utusan Malaysia hari ini yang merasa pelik dengan pendakwaan segera Peguam Negara dan polis ke atas pihak yang kononnya telah menghina agama Hindu dengan mengusung kepala lembu ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor. Malah, pembaca yang menamakan dirinya sebagai Mohd. Sharial Omar itu mempersoalkan mengapa pendakwaan tidak dilakukan kepada pihak-pihak tertentu dalam isu seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu. Ibrahim menegaskan, tindakan sebegitu boleh menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan orang Melayu jika gagal bertindak adil dalam isu-isu yang melibatkan sensitiviti orang Melayu.

''Saya tidak mahu nanti orang Melayu fikirkan yang kerajaan sekarang sedang cuba mengambil hati orang bukan Melayu melalui cara ini dengan membelakangi mereka,'' tambahnya. Beliau berkata, Peguam Negara sepatutnya bertindak tegas dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya terus tunduk kepada helah psikologi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sementara itu Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, Peguam Negara perlu bertindak adil dalam membuat pertimbangan sebelum membuat pendakwaan. ''Apakah rasionalnya beliau mengambil tindakan segera kepada penunjuk perasaan itu, mengapa kes-kes sebelum ini masih belum dikenakan pendakwaan,'' soalnya. Katanya, beliau mengakui apa yang dibuat oleh Peguam Negara itu adalah satu tindakan yang betul daripada segi undang-undang namun tekniknya salah. ''Abdul Gani perlu menyelesaikan kes terdahulu yang mana masih ramai orang Melayu berasa terkilan dengan tindak tanduk sesetengah ahli politik bukan Melayu yang mempersoalkan hak serta kedudukan Raja-Raja Melayu,'' jelasnya.-UTUSAN MALAYSIA 11 NOV, 09

0 comments:

Sila ambil perhatian bahawa penulisan-penulisan yang disumbangkan ke laman web ini bukanlah pandangan rasmi Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia kecuali yang dikeluarkan secara rasmi dari masa ke semasa oleh pihak Pertubuhan.

GEOCOMPUTER

Neo Counter

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP