Friday, August 21, 2009

Sambutan Hari Merdeka di Parlimen


NASIONAL
Sambutan Hari Merdeka di Parlimen

KUALA LUMPUR: Lokasi bagi sambutan Hari Merdeka ke-52 yang sebelum ini dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, akan ditukar, berikutan penularan wabak Influenza A (H1N1) yang semakin meningkat selain bagi menghormati Ramadan. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata upacara sambutan itu mungkin diadakan di tempat lebih kecil iaitu di pekarangan Parlimen. "Kita mempunyai dua pilihan iaitu sama ada di pekarangan Parlimen atau di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad. Parlimen adalah pilihan pertama kita memandangkan kawasan itu tidak pernah diadakan majlis seumpama ini.

"Tetapi, jika ada halangan, mungkin kita pilih di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad," katanya pada majlis pelancaran program MenjalurGemilangkan Kuala Lumpur 2009 di sini, semalam. Rais berkata, kementeriannya sudah membentangkan perkara itu kepada jemaah menteri serta mendapat nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan perhimpunan secara besar-besaran diadakan. "Kita memikirkan suasana bulan puasa dan ibu bapa yang risaukan pembabitan anak mereka dalam perhimpunan besar-besaran lantaran H1N1 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga berkata perhimpunan besar akan memudahkan jangkitan virus itu," katanya.

Beliau berkata, walaupun sambutan kemerdekaan kali ini diadakan sederhana dan di tempat lebih kecil dan padat, implikasi serta slogan 1Malaysia yang menjadi tema kali ini tetap disemarakkan. - Bernama

0 comments:

Sila ambil perhatian bahawa penulisan-penulisan yang disumbangkan ke laman web ini bukanlah pandangan rasmi Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia kecuali yang dikeluarkan secara rasmi dari masa ke semasa oleh pihak Pertubuhan.

GEOCOMPUTER

Neo Counter

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP